Sunday, December 28, 2008

Untold story of kg krubong

Pada tahun 1975, jalan baru dibina dari kg krubong ke pantai belimbing. Ianya dibina oleh JKR. Masa tu kanak- kanak begitu ramai mengerumuni jentolak menolak ladang getah untuk membina jalan.

Di antara mereka ada yang bermain gelunsur tanah di cerun bukit yg baru dipotong oleh jentera. Salah seorang nya adalah adik dak kesat.

Malang memang tak berbau, ketika menggelunsur, sebatang ranting tajam telah menusuk ke peha beliau dan tembus ke hujung sebelah.

Apa yg menarik sekali ialah, keberaniannya mencabut ranting keluar dan membalut luka dgn baju.

Semenjak hari tu kami tetap menganggap beliau sbg budak yang paling terjal sekali di krubong.

Friday, December 26, 2008

Untold story at Kg Kerubong.snahakan

Memandu sepanjang lebuhraya Sg udang bypass semalam banyak menggamit kenangan lalu. Saya dapati sebuah jengkaut sedang melebarkan sg krubong berhampiran saluran paip besi yg melintasi sg krubong di kg ladang. Mungkin ianya akan memudahkan pengaliran sg yg kerap membanjiri kg baru2 ini. Tapi apa yg pasti, ia telah pun memusnahkan lubuk si dolah dan gabin2 nya.

Ada beberapa budak sedang memancing di sekitar lubuk pak terap, lubuk hitam yg mencuakkan hati kanak2 sezaman dgn kami. Yang tinggal cuma sedikit kerana banyak yg telah di timbusi bahan buangan pepejal yg berpusat di situ. Terdapat parit yang masih mengalirkan air dari dalam paya gelam yg tinggal sisa sisa itu. Terbayang pula nasib limbat yang terus-terusan kehilangan habitatnya.

Kalau esei2 saya di kelas bahasa inggeris Iowa State University dulu banyak memperjuangkan alam sekitar, penyelamatan kawasan hutan secara berstruktur begitu mendapat simpati faculti, kemusnahan tanah paya di Krubong dirasakan seakan menusuk terus ke jantung.

Berjemaah di masjid kg kerubong mampu membuat saya tersenyum riang. Majlis baca yassin mendapat sambutan ramai. Masjid itu menerima lebih 50 orang tamu terdiri dari muslimin, muslimah dan kanak2. Tuan imam meminta anak buahnya untuk memastikan anak2 berjaya dalam pelajaran.

Apa yang menarik hati saya juga adalah tuan bilal yg secara peribadi menyumbang hadiah pada anak2 yg berakhlak baik pada setiap majlis yassin di masjid. Pada malam itu 3 kanak2 telah dihadiahkan beliau dgn seadanya. Mudah-mudahan Allah memberkati niat mulia tuan bilal. Wallahualam.

D

Saturday, December 20, 2008

untold story of kampung krubong

Pada tahun 60an, memandangkan bekalan air ke sawah kerubong adalah tidak menentu kerana parit pengairan yang kecil dan kurang memuaskan. Jadi pihak kerajaan pun bersetuju membina sebuah bandau. Bandau adalah terusan pengairan. Lantai dan tebingnya dibina daripada kepingan2 konkrit berpaksi besi.

Maka ramailah pekerja mencangkul parit di tepi2 sawah kg krubong. Pada satu hari peristiwa luar biasa telah berlaku. Ketika menggali di belakang rumah pak mat berhampiran masjid lama, artifak sejarah berupa pinggan mangkuk ceramik berbunga biru telah di jumpai. Dari rekabentuknya bolehlah dikatakan ianya berasal dari zaman dinasti cina dan telah berumur beratus tahun.

Kak pah, anak sulong pak mat berlari ke rumah sambil menunjukkan ibunya pinggan yg dijumpainya. Oleh kerana takut dia telah disuruh untuk meletakkannya kembali ke bandau hanya untuk di ambil oleh budak lain; arwah baba latah.

Sebahagian pinggan itu juga diserahkan ke muzium melaka dan masih di pamirkan di muzium sehigga kini.

Banyak juga yang digunakan oleh penduduk yang telah mengambil pinggan mangkuk yg direzekikan tuhan pada hari itu.

Friday, December 19, 2008

untold story at kg krubong

Kampung kerubong yang berpaya-paya itu memang sering di landa banjir. Dan setiap kali banjir melanda, berbagai binatang spt ular sawa yang bersarang di hutan akan keluar menyelamatkan diri. Di mana lagi kalau bukan ke dalam kampung.

Sekitar tahun 1971, Kerubong di landa banjir paling besar. Airnya membuak lebih dalam dari banjir musim tengkujuh yg lain. Pada masa yang sama penduduk gempar kerana seekor buaya sungai telah memasuki kampung dan melarikan seekor ibu itik nila.

Tok baba mencapai sebatang besi tiruknya yang tajam dan menikam belakang buaya. Buaya mengelepar dan besi tersebut patah dan buaya itu pun melarikan diri ke sawah.

Tok baba tergamam kerana belum pernah terjadi tiruk boleh patah dan hanya mampu melihat buaya mengelupur pergi

Thursday, December 18, 2008

untold story of kampung krubong

Zaman Jepun banyak menagih korban dari kalangan anak2 kerubong. Tok Mat Derus yang disyakki penentang Jepun telah disiksa di padang Alor sehingga menemui ajalnya.

Pada satu hari keluarga tok Mat Sab berasa begitu cemas kerana pada pagi itu penghulu telah memberitahu bahawa salah satu anak lelakinya akan di ambil menjadi rekrut Jepun kerana beliau mempunyai 3 orang anak lelaki.

Berasakan dirinya sebagai abg sulong perlu memikul tanggungjawab itu, Pak Mat pun memberitahu ayahnya selepas solat isya yg beliau akan pergi melapur diri sebagai rekrut Jepun pada esok harinya. Maka pada malam itu, ibunya bukan sahaja tidak dapat melelapkan mata, tetapi terus-terusan berendam air mata kerana pergi anaknya tentu tidak pasti kembalinya lebih2 lagi perginya dia sebagai tentera di medan Perang Pasifik.

Pak Mat melaporkan diri di Singapura. Sebagai mana anak Malaya lain, mereka begitu kekok untuk makan nasi menggunakan lidi chopstick. Tetapi selepas di belasah jari masing2 dgn rotan oleh Sarjan Jepun, semua mereka terus menjadi mahir menggunakan chopstick.

Tetapi, di antara askar Jepun, terdapat seorang pegawai yg sangat sayangkan Pak Mat kerana kecerdikannya. Hirata san memanggil beliau Amado dan mengganggap beliau sebagai adiknya kerana adiknya telah terbunuh di medan Pasifik. Beliau berjanji akan membawa Amado balik ke kampungnya di Jepun bila Perang tamat kelak.

Kerana kefasihannya menguasai bahasa jepun dan sayangnya Hirata Sama kpd pak Mat, Pak Mat akhirnya bertugas sbg control tower radio man di padang kapal terbang pejuang Jepun Singapura.

Menurut Pak Mat, padang kapalterbang dibina dgn kudrat tulang empat kerat askar2 jepun. Pokok getah di rentap bersama karnya secara beramai oleh askar2 kerahan. Setiap hari, penuh dgn kematian. Biasanya selepas serangan tentera berikat, sebanyak 7-8 lori mayat akan di bawa pergi dan muka2 baru pula akan sampai. Landasan diperbaiki serta merta, dan giliran pesawat jepun pula akan berlepas dan menyerang kapal pengangkut berikat.

Apabila perang sudah di penghujung, Amado membunyikan siren dan memanggil menerusi radio akan kehadiran kapal terbang berikat spt kebiasaannya. Tetapi semagat askar jepun telah pudar krn negaranya telah dibinasakan tuhan. Ketua nya telah mengunci menara kawalan dari luar dan mahukan semua tentera mati sebagai secara terhormat di medan perang itu. Pak Mat dan rakan telah berjaya memecah keluar.

Di saat melarikan diri di tengah2 amukan bom2 pesawat berikat, sahabatnya mengajak beliau bersembunyi di dalam bilik air. Pak Mat tak bersetuju tetapi terus meniarap di dalam parit. Dan demikanlah takdirNYA, sahabatnya menemui ajalnya di situ apabila sebuah pesawat telah meranapkan bilik air itu.

Pak Mat telah meloloskan diri ke rumah saudaranya di Kebun Teh JB. Dan apabila beliau memberi salam di pintu rumahnya di Krubong beberapa hari kemudian, ibunya tersepuk ke lantai, dan menangislah ibu itu kerana bertemu anaknya yang diberitakan telah terbunuh setahun lalu di Singapura.

untold story of kampung krubong

Kebanyakan ketua kg yang mengepalai anak buah kg kerubong adalah kaya2 belaka. Mereka biasanya mempunyai kebun2 dan sawah padi yang luas. Di antara mereka adalah Penghulu Samad, Penghulu Dol dan Sidang Mat Gombeh.

Tetapi hanya Penghulu Dol yang lebih dekat di hati warga Kerubong kerana kemurahan hatinya untuk menginfakan tanah2nya untuk keperluan umum masyarakat Kerubong.

Sekolah Keb Kerubong, Masjid baru, Masjid lama dan tanah perkuburan Kerubong adalah antara tanah2 yang di wakafkan oleh Penghulu yang terkenal dgn sikap pemurah dan rendah hati itu.

Tanah sawahnya pula, diberikan kpd beberapa penduduk untuk mengusahakannya dan Pak Mat juga sgt bersyukur kerana diizinkan oleh Tok Jusoh, anak Penghulu Dol untuk mengusahakan padi di atas bendangnya.

Kini Sekolah yg penuh sesak dgn murid perlu di perbesar dan bangunan baru telah dibina di atas padang bolasepak yang pernah mengharumkan nama kg Kerubong di persada bolasepak Melaka.

Dan sekali lagi anak cucu Penghulu Dol telah ditakdirkan Allah sang maha penyayang untuk berbakti kepada kampungnya. Tanah bekas tapak rumah arwah penghulu kini di infakan kepada awam demi mendidik anak desanya tercinta. Semoga tuhan membalas kemurnian hati mereka dgn limpahan rahmatNYA di dunia dan akhirat.

Monday, December 15, 2008

Untold story at Kg Kerubong.

Sekitar awal 70an, pasar melaka terletak di tebing sungai berhampiran jambatan kampung hulu. Bersebelahannya adalah kedai2 kampung jawa. Pada masa tu, pekedai hanya akan membungkus ikan dengan kertas dan diikat dgn tali dari rumput sikudana.

Sikudana banyak terdapat di lubuk2 kg kerubong dan terdapat beberapa orangspt pak ngah di dan pak mat yg memotong sikudana dan menjualnya di pasar melaka. Harganya sekati 7 sen.

Pada satu hari, pak ngah di, mendapat berita bahawa sikudana dibeli pada harga 15 sen sekati di muar. Jadi pada hari itu pak mat dan pak ngah di pun berbasikal dari kerubong ke muar.

Sesampai di pasar muar berhamppiran kota bentayan, didapati harganya cumalah 10 sen. Berasakan usaha mereka berbasikal tidak berbaloi, merekapun meneruskan perjalanan ke pasar Batu Pahat hanya untuk mendapati harganya pada kadar 7 sen.

Mereka berasa terlalu penat kerana telah mengayuh basikal terlalu jauh. Akhirnya mereka menjual semua sikudana di BP dan selepas ketuk teh, mereka mengambil teksi dan pulang ke kerubong.

Itulah kali terakhir kedua sahabat baik itu sekali-kali cuba berfikir untuk memasarkan "tali belacan" mereka selain dari pasar melaka.

untold story of kampung krubong

Kat paya krubong juga terdapat ular2 yang merbahaya, spt ular kempas, ular hitam, ular sampah, ular tiong , ular sawa dan ular kapak

Tetapi yang paling bahaya sekali adalah ular kempas atau pun king cobra. Ular ini biasanya mengeluarkan bunyi seperti ayam iaitu "kok, kok". Jadi bagi anak kerubong yang mahir dgn paya kerubong bunyi sedemikian biasanya menyebabkan mereka terus pulang ke rumah kerana ular kempas bukanlah binatang yg mudah di tangani.

Cuma raja2 rimba seperti spt tok mat sab dan tok mat kelinci yang tahu cara untuk menundukkan binatang ini jika terdesak. Mereka akan memancung di kepala ular kerana kalau ular kempas di pancung pada lehernya. Otot2 leher akan mengecut dan menegang, akibatnya bahagin kepala yang putus akan melayang dan mematuk penyerang. Demikianlah kesempurnaan ciptaan Allah.

Pada tahun 1983, Mak Cik Kodah, seorang peniaga kain di kejar oleh seekor ular kempas. Menurut baba seorang peniaga ayam kampung, ular itu sungguh besar, dimana sisik2nya sebesar duit syiling. Mujurlah mak cik kodah dapat memecut basikalnya dari ular kempas kampung ladang itu.

Monday, December 8, 2008

untold story of kampung krubong

Setiap orang special constable yang bersara mendapat wang gratuity sebanyak $500. Rata2 mereka membelikan isteri barang kemas seperti kekabu intan dan sebagainya.

Yg peliknya Pak Mat pula membeli seekor kerbau betina($80), sebuah sikat bajak, dan tanah sawah seluas 5 ekar ($200). Isteri Pak Mat kecewa, tetapi akhirnya akur bila mendengar nasihat suaminya.

Kerbau pak mat bagaikan mengerti akan keperluan tuannya. Maka setiap tahun dia akan melahirkan anak. Dan setiap tahun juga dia akan menjual anak kerbaunya kepada Pak Cik Hamid Kancil untuk keperluan sekolah anak2nya. Pak Cik Hamid adalah tukang lelong kerbau yang biasanya dapat melelong kerbau pada harga lumayan. Kerana kecerdikannya dia digelar Sang Kancil.

Rencana Allah memang demikian. Sejurus sahaja anak2 Pak Mat habis bersekolah, kerbaunya yang terakhir bernama maslia, terkena sakit mulut. Akibatnya kerbau itu gila dan mati di atas lori sewa Pak Hamid Kancil. Demikianlah rezeki yg dipinjam sang maha pemurah pada hambanya yg tak pernah lalai meminta limpahannya.

Saturday, November 22, 2008

untold story of kampung krubong

Pada tahun 1974, masjid baru kampung kerubong telah di bina menggantikan masjid lama. Masjid lama berbentuk gaya senibina unik melaka berbumbung pagoda ala Aceh. Semuanya kerana ingin memindahkan lokasinya supaya hampir dgn jalan besar.

kontraktor pun mula meruntuhkan masjid selama beberapa hari. Tetapi beberapa perkara anih berlaku ketika masjid yg menjadi tempat beristiqamah sufi besar spt tuk ayah, bagaikan tak merelakan peruntuhan itu.

Ketika itu saya sibuk menonton ibu saya mengambil anak padi di tapak semaian bapak yg letaknya kurang 50 meter dari masjid lama.

Kontraktor india bercerita pada kami bahawa beliau pernah di sergah makhluk besar hitam ketika meruntuhkan masjid.

Kontraktor india itu pun akhirnya menemui ajalnya di masjid itu kerana terjatuh dari bumbung.

Oleh kerana kayu2 baik digunakan untuk sbg bahan bina masjid, terdapat org kampung yang meminta dari pegawai syarak untuk mengambil untuk membaiki rumah, tetapi terdapat juga org kampung yang memulangkan balik kayu itu krn bermimpi dimarahi org tua kerana menggunakan bahan masjid untuk tujuan peribadi, sbg lantai pelantar rumah.

Sejak dari itu sisa kayu itu hanya digunakan untuk tujuan awam spt jambatan bandau atau di biarkan saja mereput di masjid.

Kini tapak masjid lama mmg semak dan baru-baru , dak bebe telah menembak seekor ular Kempas atau tedung selar yg sangat besar di sekitar semak itu. Wallahualam.

Untold story at Kg Kerubong.

Kampung krubong mempunyai 2 musim yg ketara, musim banjir dan musim kemarau. Pada kedua-dua musim ikan-ikan berlainan akan dikeluarkan dari paya krubong.

Di musim banjir, biasanya ikan lampam jawa banyak di jaring oleh , aim wak kang atau lebih dikenali sebagai koboi krubong kerana kemahirannya menangkap kerbau yang meliar di sawah dan lembu dgn menggunakan tanjul.

Pada musim kemarau pula aktiviti menjala dan menimba banyak dilakukan dan man botollah wiranya.

Tetapi, biasanya untuk ikan limbat pabila paya telah mengering, hanya Tok mat sab yang mempunyai rahsia tersendiri untuk mengeluarkan hasil hutan ini.

Ini menyebabkan tok mat kelinci berasa tak senang hati kerana beliau tidak berupaya menangkap limbat di musim kemarau.

Cerita ini berlaku pada tahun 60an, apabila tok mat sab menebang gelam, didapatinya dibawah akar gelam banyak terkumpul limbat yang merasak-asak untuk hidup didalam lopak pangkal akar gelam, Dan mulai hari itu, pendapatan arwah tok mat sab yant biasanya mengeluarkan 2 guni limbat sehari pun dapat diteruskan di musim kemarau

Oleh kerana Tok mat sab merahsiakan kaedah limbat kemaraunya, Tok mat kelinci telah mengintai tok mat sab pada satu pagi untuk mengetahui rahsianya, Dan bermula hari itu tok mat kelinci pun mampu mendapat limbat di musim kemarau.

Namun begitu limbat kemarau rasanya tak sedap kerana terlalu kurus sebab kurang makan.

Friday, November 21, 2008

Untold story at Kg Kerubong.

Paya gelam kerubong tu luasnya bersambung ke batu berendam dan tampoi. Cerita ni berlaku pada tahun 70an semasa pak mat menolong bapaknya mengangkat lukah. Lembat memng banyak pada hari itu. Biasanya laluan lukah mereka dari belakang rumah husin mata merah,

Di dalamnya ada sebatang parit jernih, lukah yg dipasang ditutup dgn daun rumbia supaya sejuk atau mengelakkan dari dikesan memerang atau orang lain. Anak parit ini mmg banyak ikan

Selepas parit-parit paya, akhir sekali kawasan lukahnya di lubuk berlumpur hitam. kat situ , semasa saya mengikut arwah tok mat sab pun saya akan berasa tak sedap hati dan sering tergambarkan ular sawa berendam yg besar.

Tok mat mat sab memiliki sebilah parang yg sangat tajam, lebar mata parang pun sudah menipis krn terlalu kerap di asah. Kalau setakat ular senduk atau ular hitam yg termasuk lukah biasanya dipauk beliau dari celah-celah lubang lukah.

Dulu pernah ketika air membuak banjir, seekor anak buaya mengelepar terperangkap dicelah2 akar pokok sungai. Kebetulan beliau lalu dgn perahu di situ dan dgn sepantas kilat diparangnya akar dan buaya itu terlepas dari lemas.

Berbalik pd pak mat, kalau biasanya beliau akan ke lubuk hitam, tapi hari tu dia tersesat jalan, semuanya kerana rasa tamak ingin mengambil kaya gelam yang lurus dan cantik. Semakin jauh semakin banyak kayu yg cantik dan sudah ditakdirkan, hari itu juara paya gelam itu bakal tersesat dan mangalami masalah di hutan gelamnya.

Teringatkan pesan org tua2 beliau pun kencing di dalam seluar dan tak lama kemudian beliau terselamat keluar sampai ke kampung tampoi. Wallahualam.

Untold story at Kg Kerubong.

Antara penjaga gol yg terkenal di SK Krubong adalah Saudara Azmi, atau lebih dikenali sebagai dak gagap atau pun kereta kebal.

Kereta kebal ni memang kebal. Dia mendapat gelaran tu sebab setiap kali bila bola 50-50 beliau akan merempuh dgn berani mcm kereta kebal.

Setiap hari, pak lang totel selalu memberi Kereta kebal air kopi bekalnya waktu rehat. Pada satu hari kereta kebal dah tersilap minum. Beliau telah terminum racun rumpai di dalam stor sukan pak lang totel. Tekak dan perutnya begitu kepanasan. Dan dia mengalami kesukaran bernafas.

Peristiwa yang berlaku pada tahun 1981 itu begitu membuatkan pandak dengkel, tukang sapu sekolah mengamuk. Dia menampar kuat kepala kereta kebal, katanya, kau nak mati ke?? Tapi pandak dengkel jugalah yang bersusah payah membuat penawar racun. kereta kebal diberinya minum air barli suam sebanyak-banyaknya.

Dan Allah jualah yang mengatur segalanya, kalau dulu hayat disambung jua, kini kereta kebal masih lagi menjadi anak kerubong yang dikagumi dlm bolasepak. Anaknya juga sangat berbakat besar dalam bidang sukan dan sedang belajar di sek Sukan bandar Penawar sebagai pemain hoki..

Thursday, November 20, 2008

untold story of kampung krubong

Kat kerubong, para penangkap ikan biasanya akan terkenal dgn caranya. Ada yg mahir mengunjun haruan, memancing betuk, menimba tambun, menjala udang, menjaring lampam, melukah limbat, ataupun menyerkap.

Hanya arwah pandak dengkel aja yg akan mengunjun haruan waktu banjir. Joran unjun mmg panjang. Umpan anak katak akan dilempar bersama taliunjun yang tajam ke arah anak2 haruan yang masih merah. Sekejap aja ibu haruan pasti akan menyambar mata tajur unjun yang besar.

Memancing betuk pula hanya kerja orang perempuan spt Nek Maria . Umpannya adalah telur kerengga dicampur minyak kelapa dan sedikit susu getah. Ada juga yg pakai belacan bercampur tepung. Biasanya sehari lebih 100 ekor betuk dpt dipancing. Mereka akan duduk atas kerusi di tengah sawah.

Man botol adalah penimba tambun yang paling handal kerana beliau adalah pembekal haruan yg paling kerap mendapat tempahan. Beliau sangat berani, kerana biasanya lubuk sering menjadi tempat ular membuat sarang.

Acip adalah penjala udang paling handal kat sg krubong. Umpannya adalah beras goreng bercampur daun pandan dan serai.

Aim wak kang pulak dgn jaring apollonya merupakan pembekal lampam jawa terbanyak di waktu banjir. Beliau akan memasang di sungai yang membuak banjir. Kerana air yang banyak beliau akan memakai boya.

Hanya Arwah tok mat sab, Tok Mat kelinci dan baba makmin aja yang reti membuat lukah dari pokok buluh yg banyak terdapat di krubong. Oleh itu merekalah saja yang membekalkan limbat dikrubong. Umpan toco tok mat sab dibuat dari taucu kacang bercampur, biji getah tumbuk, hampas kelapa dan bangkai ikan. Limbat adalah pemakan bangkai. Biasanya dua lapisa kain akan digunakan membungkus umpan didalam lukah. Tetapi biasanya akan pecah berderai di baham oleh limbat2 yang bagak

Tetapi yg paling berani masih lah menyerkap. Hanya sum midun yg mahir menyerkap dan meraba ikan. Di situlah kadang2 bila meraba ikan dalam serkap, Su midun boleh tertangkap belut atau nagin.

Kerja yang paling sia-sia adalah memasang tajur atau kelakontang. Selalunya ia akan dilarikan ikan atau pun di score orang. Tetapi ada juga orang yang selalu bernasib baik . Semuanya kerana kemurahan Allah menguniakan ikan yang begitu banyak di paya2 Krubong.

Saturday, November 15, 2008

Untold story at Kg Kerubong.

Disebabkan kawasan sawah yang luas, di kg Krubong, terdapat 2 jambatan kayu yg dibina melintasi sawah padi untuk ke benteng sungai bermula pada tahun 1976. Masa tu barulah orang kg dapat menunggang basikal/motosikal untuk ke seberang.

Jambatan tu panjangnya lebih kurang 300 meter. Dan di sapu dengan minyak hitam untuk tahan lama. Di bahagian hujung sekitar lubuk Bidan Semah, kontaktor telah kekurangan kayu resak , bahan binaan dan disitulah akhirnya menjadi kawasan "kemalangan" kerana hanya papan seraya dan kayu berbagai saiz digunakan. banyak kaki dah pernah terperosok sebab lantai patah.

Yang paling kelakar bila penjala ikan meniti jambatan di waktu tengah hari berdentang. Menjajau-jajau sebab kepanasan kerana berkaki ayam.

Kat sinilah kawasan memancing waktu banjir yang paling hebat dan kawan main layang2 yang terluas. Tengah2 sawah boleh nampak orang menjaring burung.

chia meran adalah lagenda kat jambatan ni bila asyik leka menonton layang atas langit, akhir nya kepalanya terperosok ke dalam kubang kerbau sebab kehilangan hujung lantai jambatan.

Tapi yang paling menyentuh hati saya ialah seorang insan yang sanggup membuat baik pulih secara sukarela. Pak Long Mat Nor, akan mengutip kayu lantai tertanggal dan memaku semula ke rasuk. Dan mana2 yg patah diganti dgn kayu gelam. Dan semuanya itu dibuat secara sukarela.

Pada tahun 1986, jambatan telah terlalu uzur, allahyarham cikgu Bakar telah menganjurkan pertandingan memancing udang galah. Akhirnya dgn izin Allah, jambatan uzur digantikan oleh adun yang juga tetamu khas hari itu.

Kini jambatan telah bertukar menjadi jalan berturap dan yang tinggal hanyalah didalam ingatan anak2 kerubong yang pernah meniti titian usang itu.

Wednesday, November 12, 2008

untold story of kampung krubong

Peristiwa rumah 2 ibu tunggal terbakar tu masih lagi segar dalam ingatan. Kejadian tu bermula pada tengahari. Ketika memasak nasi, Allahyarhamah nek Embam telah pergi ke kedai. Di suainya bara kayu api masak nasi dan lauk tu. Rumah tepi sawah, tentulah banyak angin. Di takdirkan Allah, bara kayu api tu menyala balik dan menjilat rumah beratap rumbia tu. Kemudian, rumah anaknya, Nyah Piah pun disambar api juga.

Aim Skru, cucu nek embam yg tinggal sama2 dia, meraung dan penduduk kampung pun cuba memadamkan api dgn air bandau. Dak Mahat mmg satunya ada pemain cartridge. Ptg2 ramai yang lepak rumah dia dgr lagu dari pemain lagu waktu kenduri kahwin krubong itu.

Aim Skru berlari sambil menagis pergi mengadu ke rumah Tok Mat Sab. Dak Mahat cuba menyelamatkan pemain cartridge yg terbakar dgn melemparkan ke dalam air. Apa lagi teruslah rosak

Petang itu ramai yg datang membersihkan tapak rumah dgn mengutip sisa kebakaran. Apabila rumahnya di bina semula, benda yg pertama sekali dibeli oleh mahat ialah pemain cartridge.

Monday, November 10, 2008

Untold story at Kg Kerubong.

Dalam banyak2 permainan kanak2 kat Krubong, saya rasalah yg paling mencabar dan unik sekali ialah main bolasepak.

Sek Keb Krubong memang pernah menghasilkan pemain bolasepak yg handal spt baba rasep, Kasim Doli, Zul Chao dan Jamal chalit. Semuanya pernah menyarung jersey Melaka.

Kalau waktu rehat, dia orang akan main bola kat terowong stor sukan. Bola akan disepak melantun-lantun antara dinding, lantai dan bumbung terowong dengan berbagai aksi. Mmg mcm lawan kungfu aja. Disinilah dia org mengasah kemahiran.

Tapi yang paling hebat sekali ialah permainan bola dalam kebun getah. Sebab selain kita perlu mengelecek lawan kita boleh menggunakan pokok getah sebagai halangan. Tapi hati2 jangan sampah merempuh pokok dan kulit buah getah yang tajam boleh saja membaham kaki.

Macam Street soccer atau cage soccer, Kebun getah soccer pun ada potensi untuk dimajukan sebagai bolasepak unik ala Krubong.

Sunday, November 9, 2008

Untold story at Kg Kerubong.

Kadang2 saya rasa bersyukur dilahirkan di bumi Krubong yang selalu saya anggap sebagai bumi bertuah. Orang2 kampungnya selalu bergotong-royong membantu sesiapa yang dilanda musibah.

Pada tahun 1977, rumah Nyah Piah dan Nenek Embam, dua orang ibu tunggal telah hangus kebakaran. Pada hari itu juga, ramai orang memberi kain baju dan berbagai bantuan. Yang lelaki pula telah pergi mengambil papan terbuang dari kilang papan batu 7 untuk membina semula dua buah rumah. Ada yg menebang gelam buat tiang. Dalam beberapa hari kemudian 2 buah rumah comel dapat dibangunkan semula secara bergotong royong. Dak Amoi, majikan Nyah Piah yg bekerja sbg buruh cangkul rumput menumpangkan tanahnya sbg tapak rumah.

Tok Mat Sab juga berjasa membantu seorang lagi ibu tunggal, Nek Kayah dgn mengupah beliau menyucuk atap rumbia sbg nafkah hidup. Sekeping upahnya 5 sen dan harga sekeping atap siap dijual pd harga 60 sen. Setiap rumah yg dibina di kg kerubong pada masa itu akan memerlukan atap2 keluaran Tok Mat sab dan Nek Kayah sehinggalah atap zink mula memasuki pasaran.

Pokok sagu milik Tok Mat Sab juga mengeluarkan banyak batang sagu yg dijual kepada penduduk untuk makanan lembu dan ayam itik.

Begitulah Allah mengurniakan rezeki kepada hambanya yang mahu membanting tulang empat kerat di bumi Krubong.

Saturday, November 8, 2008

untold story of kampung krubong

Sg kerubong mmg diakui mempunyai berbagai spesis ikan yang besar spt tongsan, toman dan kalui. Oleh itu ramailah pejala sg dari sekitar kerubong datang untuk mengutip rezeki Allah ini.

Pada tahun 1990, Pak Mat menjemput rakan2nya ke kenduri kesyukuran kerana anaknya bakal terbang ke Iowa, USA untuk melanjutkan pelajaran.

Dan Allah , Sang Maha Pemurah telah melimpahkan rezeki untuk keluarga Pak Mat pada hari itu di Sg Kerubong. Pada pagi itu anaknya, Acip dan Dabuk pun ke Sg. Acip melihat anak2 toman memerah di permukaan lubuk putat dan terus menyerak jala di situ. Apabila Toman melenting dan meronta2 , acip terus terjun sementara adiknya memegang kejap tali jala di tebing. Toman yang terkenal garang cuba menggigit acip tetapi, penjala berpengalaman luas itu telah dulu memegang kaki jala dan memerangkap ibu Toman.

Seketika kemudian, sekali lagi rezeki dilimpa Pencipta. Jala pula dipukul kalui sebesar dulang air. Acip terus terjun dan pengalamannya sekali lagi memberi kelebihan. Kalui yang terkenal dgn sirip tajam boleh merabak jala, dipintal kepucuk jala.

Malam itu, Allahyarham Cikgu Daud berasa sungguh bertuah, bukan saja anak didiknya dabuk bakal terbang ke luar negara, tetapi juadah kalui masak lemak dan toman masak kari begitu enak sekali. Demikianlah Allah mengatur dan merezekikan hambanya dgn begitu sempurna.

untold story of kampung krubong

Sebelum kawasan sawah kerubong dijadikan kolam air negeri, ia telah terbiar buat beberapa lama. Semuanya bermula pada satu banjir besar yang berlaku pada tahun 1975.

Kebanyakan penduduk mempunyai lebih dari 1 pekerjaan; penoreh di waktu pagi dan pesawah di sebelah ptg. Bagi yg tak ada tanah sawah mereka akan mengerjakan sawah orang lain dan hasilnya dibahagi dua.

Sawah padi mempunyai byk musuh spt, pianggang, tikus pipit dan kerbau. Tetapi apabila banjir menenggelamkan padi pada tahun itu. Semua pesawah krubong putus asa. Mereka meminjam perahu Allahyarham Tok mat sab dan tok mat kelinci utuk menyabit mana2 padi yang dapat di ambil.

Hanya pesawah sg badau saja yg meneruskan sawah mereka, ttp akhirnya mereka juga berhenti bersawah apabila menghadapi masalah air pd sekitar 90an.

Friday, November 7, 2008

untold story of kampung krubong

Kampung krubong sangat terkenal dgn ikan limbat. Ikan limbat begitu banyak terdapat didalam hutan paya gelam, tetapi hanya terdapat beberapa orang sahaja yang mahir memasang lukah apa lagi untuk membuat resepi umpan limbat untuk menarik limbat masuk ke dalam lukah. Antara yang mahir adalah, Allahyarham Tok Mat Sab & Allahyarham Tok Mat Kelinci. Tetapi sayangnya, keluasan hutan paya gelam telah mengecil dan digantikan dgn perumahan baru. Walaubagaimanapun sisa2 paya yang mengecil itu masih mampu "memukau" baba makmin, satu2nya pemasang lukah limbat yg masih mampu mengeluarkan hasil hutan kerubong itu. Maka tidak syak lagi , limbat telah dinobatkan sbg signature utama kg kerubong, kerana hanya limbat kerubong masih lagi dijual di sekitar melaka.

Terdapat 3 spesis utama limbat di sini. Limbat hitam, limbat kuning dan limbat merah. Semuanya berdasarkan warna limbat tersebut. Limbat adalah spesis keli cuma saiznya lebih besar dan panjangnya hampir 2 kaki. Oleh kerana itu ia akan berenang melingkar2 seperti ular menyebabkan tak ramai yang berani mendekati ikan ini. Rasanya sangat sedap lebih2 lagi jika dimasak lemak cili api.

Nanti saya akan ceritakan resepi umpan limbat Allahyarham Tok Mat Sab dan kawasan melukah Allahyarham sekitar tahun 1979.

Thursday, November 6, 2008

untold story of kampung krubong

Kalau tengok kat google earth di website kerubong, kita akan nampak Jalan Haji Hashim. Haji Hashim bagi saya bolehlah di anggap orang "budiman" krubong. Beliau bekerja di Pejabat pelajaran KL. Rumah beliau terletak di sebelah sek krubong. Beliau membakar semangat org kampung utk menghantar anak ke sek menengah dan univ pd sekitar tahun 60an dan 70 an. Rata2 ibubapa biasanya patah semangat oleh yuran buku dan sek yg tinggi kerananya keseluruhan penduduk adalah penoreh getah.

Haji Hashim sedar adik sepupunya mempunyai anak yang cerdik tetapi terlalu miskin. Beliau sering memberi bantuan kewangan, menggaji pak mat menjaga kebunnya, dan memberi semangat. Satu hari anak Pak mat mendapat tempat ke sek Jln Kolam ayer (Sekarang Sek Sri Putri). Pak mat berasa sgt susah hati. Nasihat beliau" Dik kalau tak sanggup meredah lautan, takkan adik sampai ke seberang".

Beliau telah memberi berbagai pertolongan dan akhirnya ramai lagi anak pak mat telah memasuki universiti.

Sekitar 80an, Haji Hashim meninggal dunia di Mekah ketika menunaikan haji. Semoga Allah memuliakan beliau atas perjuangan beliau memerdekakan minda anak2 kerubong untuk merambah menara gading.

Saturday, November 1, 2008

Untold story at Kg Kerubong.

Sawah padi di kerubong seluas mata memandang. Kat sawah tu pulak ada banyak kerbau dan lubok ikan. Antaranya lubuk tengah, lubuk bidan semah, Lubuk Pak abas, Lubuk baba kasim, lubuk lubuk pak terap. Tapi yang paling selalu menjadi tempat mencari rezeki adalah alor.

Kerbau adalah binatang peliharaan utama disebabkan sawahnya ang luas. Penduduk kg membuat sebuah kandang yang besar dan berkongsi tempat mengurung kerbau yang di halau balik dari sawah dan sungai.

Lubuk tengah memang dalam. Tiap tiap tahun, traktor bajak sawah akan terbenam kedalam lubuk ini kerana kelirukan sawah bendang. Kat situ ada dua tambun terkenal iaitu tambun dak budin dan tambun man botol. Airnya dalam dan sejuk. Tiap2 minggu ada saja yang menimba tambun untuk menangkap ikan lubuk tengah.

Lubuk bidan semah pulak letaknya didalam hutan kecil. Kat situ ada paya mengkuang yang membuatkan susah untuk menangkap ikan. Sekitar tahun 80an, Lubuk itu telah berjaya ditimba sampai kering. Ikannya terlampau banyak. Masa tu juga dia orang jumpa ular sawa besar. Jamal kadok yang memang berani orangnya pun tangkap ekor ular tu dan terus tarik ke darat sambil berlari. Kecundang si batik hari tu.

Lubuk Pak terap paling di geruni. Lumpurnya berwarna hitam. Payanya sangat luas dan tak pernah kering. Di situlah sekitar tahun 70an pabeng dan Malek menangkap seekor keli albino. Warna putih. Bapa dia punyalah takut, malam tu jugak pergi lepaskan balik. Lubuk ni di tengah hutan. Ada banyak ikan lembat, tetimah, belida dan haruan.

Lubuk pak abas tu dalam pokok rumbia, tapi satu parit digali supaya air dia boleh digunakan untuk tanam padi. Banyak ikan sepat, belida especially selepas banjir surut

Lubuk pak kasim membahaya, sekitar 60an pak kasim hilang ketika mencari kerbau. Kat pokok situ orang ada tersepa harimau akar. Terlalu banyak ikan sebab letaknya dekat dengan sungai dan hutan. Ikan lembat banyak.

Tapi paling grand still alor. Dia tempat budak2 belajar berenang sebab airnya bersih dan terletak tepi padang bola. Kat situlah sekitar 80an masa dikeringkan, ikan haruan sebesar peha berjaya di tangkap. Warna dia dekat putih sebab tua sangat.

Thursday, October 30, 2008

untold story of kg krubong

Sekolah Agama kerubong
Sekolah agama Krubong bermula dgn status sek agama rakyat pada sekitar tahun 1976. Penduduk kg yg rata2 adalah penoreh getah bersetuju mengutip seorang serumah untuk menggaji ustaz mengajar anak2 pelajaran agama. Sidang Ali lembik akan berbasikal dari Sg Badau hingga ke kg ladang untuk mengutip yuran. Pada tahun1978, Jabatan agama mengambil alih., ustaz anuar dilantik (merangkap guru besar dan guru tauhid, dan sejarah islam), Ustaz Hamid (b arab dan akhlak), Ustaz Md diah mengajar fekah dan Quran. Ketika tu terpaksa menumpang di bangunan lama sekolah. selepas itu pada 1979, ustazah suria mengambil alih sebagai guru besar. Beliau sangat pandai bertaranum al-quran dan berjaya membawa anak muridnya ke tilawah dan hafazan peringkat negeri melaka.

Beliau berjuang untuk mendapatkanbangunan sendiri. Beliau menganjurkan pertandingan syarahan agama untuk sek2 agama. ADUN tg minyak dijemput dan sek agama krubong telah menjuarai johan dan naib johan. Akhirnya bangunan sendiri dapat dibina bbrp tahun kemudian.

Ustazah Suria berasal dari Kg Cheng. Ustazah Safiah pula seorang pendakwah yg hebat. Beliau mendidik murid untuk berakhlak mulias, menutup aurat dan bersolat lima waktu. Beliau memulakan majlis taklim setiap hari. Berdoa pada tuhan setiap hari dan bersolat asar berjemaah di masjid pada setiap hari. Beliau sering membaca kitab Tanbihul Ghafilin karangan imam Ghazali di kelas dan mengajar kepada murid. Pengaruh beliau sungguh besar. Murid2 meminta sehingga ke sek keb untuk memakai baju kurung dan menutup aurat.

Wednesday, October 29, 2008

untold story of kampung krubong

Kalau tuan2 tengok nama2 jalan di kampung krubong banyak yang menggunakan nama2 anak kampung yang berjasa:

Lorong Haji Ariffin:
Haji Ariffin adalah orang yang sangat warak dan alim. Beliau seorang ahli zikir suffiah. Setiap hari jumaat beliau akan duduk di tepi paling kanan barisan belakang. Beliau mempunyai beberapa murid yang mempelajari ilmu tasawuf dan zikir. Beliau dikatakan mempunyai sebuah pinggan. Apabila pinggan itu retak, beliau bersedia bercukur dan sebagainya krn beliau dikatakan tahu yang tidak lama lagi beliau akan meninggal dunia. Wallahualam.

Lorong Imam Ali
Imam Ali adalah imam yang alim dan berjasa di kampung krubong. Beliau banyak mempelajari ilmu agama di Singapura. Kalau beliau berzanji, suaranya merdu sekali. Seperti lazimnya, di majlis seperti maulud nabi atau israk mikraj, beliau akan berceramah dan ceramahnya dgn taufik Allah sentiasa menarik dan berisi walaupun telah pernah dicerita. Imam Ali mempunyai murid yang sangat ramai. Kebanyakkannya belajar ilmu fekah pada sebelah malam. Masa tu tak ada elektrik jadi semuanya datang pakai colok buluh. Cara ajarannya, semua murid mesti menghafal setiap ajaran beliau. Upahnya cumalah sebotol minyak tanah dgn iklas hati. Mudah-mudahan Allah memberkati ruh allahyarham

Lebai Said Lebai Ibrahim
Tuan guru lebai Said mempunyai murid yang ramai. Saya sempat belajar berzanji dan tajwid dari beliau. Setiap beberapa bulan, tuan guru akan merantau mendalami ilmu agama dan berubat penyakit kulit yang dihidapinya. Ketika di Perak, kerana tertarik dengan bacaan lagu Syikah beliau, seorang lelaki meminta beliau mengahwini anak gadisnya. Di Johor sekitar 40an, ketika belajar di sana, tentera Jepun gagal memasuki madrasah dgn izin Allah. Setiap kali merantau anak murid yang senior akan mengendalikan kelas Quran dan sebagainya. Upahnya iklas, dan upah saya hanyalah menolong tuan guru mengambil secerek air untuk wuduknya setiap kali selepas belajar. Tok Aid akan bersembahyang Jumaat di sebelah paling kiri barisan depan masjid.

Di antara Guru agama yang agama penyebar agama di kerubong adalah Tok Ayah. Dari namanya Tuan2 tentu dapat meneka bahawa beliau adalah seorang Guru Mursyid. Dari cerita Tok Aid, Ketika mereka mengebumikan ulama terkenal ini, seseorang telah terpandang bahawa lahad beliau seluas mata memandang. Demikianlah Allah memuliakan Walinya daripada sebahagian yang lain.

Patah tumbuh hilang berganti, kini bumi kerubong diwarisi oleh seorang lagi Guru Suffiah, Imam Roslan. Beliau adalah seorang lelaki yang sentiasa beramal Soleh semenjak remaja. Ceramah beliau laksana lautan yang mengalir.

untold story of kampung krubong

Lubuk baba temberang mendapat namanya dari seorang penduduk yang lemas di situ. Kawasannya berhampiran empangan JBA di situ. Kedua tebingnya agak jauh, tapi airnya cetek saja. Tapi di tengah-tengah nya terdapat parit dasar sungai yang dalam. Disitulah Baba yang bercakap besar lemas. Wallahualam.

Lubuk putat pula pula banyak udang galah. Budak2 sangat suka terjun dari pokok terus ke sungai. kawasannya banyak kijing besarnya sebesar telapak tangan. Caranya mengutipnya dgn cara menyelam. Tapi awas di tepi tebingnya ada lubuk yang dalam. Di sini pada awal 90an ada seorang penjala ikan yang telah digigit buaya. Khabarnya dia cakap besar. Beritanya tersiar di televisyen. wallahualam.

Lubuk selekoh pula memang dalam. terletak di selekoh sungai. Pada tahun 1984, wak mail seorang penjala ikan, ketika menjala di waktu maghrib termasuk mayat budak. Terkejut dgn mayat itu beliau pun tercampak semula ke dlm sg. Keesokkannya bot polis menjelajah sepanjang pagi tetapi tak berhasil menemui nya. Di dasarnya ada jaring apollo tersangkut. Jadi tak ramai orang berani menjala atau mandi di situ.

Tetapi lubuk yang paling notorious masihlah lubuk si dolah. Si dolah adalah penangkap ikan terhandal di kerubong akhirnya kecundang di situ. Lubuk ini di katakan ada buaya. Di dasarnya banyak gabin, iaitu ketul2 tanah keras yang besar. Banyak udang tapi jala sentiasa tersangkut. Di situlah si dolah lemas. wallahualam

Di hilir lagi terdapat batu berbentuk buaya. Mengikut cerita orang tua, batu itu asalnya buaya dikerat hang tuah kerana mengganggu beliau dan disumpah menjadi batu. Pihak muzium sekitar tahun 70an cuba membawa ke muzium tetapi gagal. wallahualam

Di hilir sungai berhampiran bekas tapak kilang mardec, seorang gadis yang kecewa dgn keputusan spm dan dimarahi keluarga akhirnya membunuh diri dan lemas di situ. Ditepi sungai itu ada batu besar. Peristiwa berlaku sekitar 80an. Wallahualam.

Tuesday, October 28, 2008

Untold story at Kg Kerubong.

Kampung kerubong memang terkenal dengan sungai dan lubuknya. Antara lubuk sungainya adalah lubuk si dolah, lubuk baba temberang, lubuk pokok putat dan lubuk selekoh. Semuanya ada cerita sebaliknya. Sungainya taklah besar sangat tapi ramai jugak yang kecundang. nanti saya cerita lagi.