Tuesday, October 25, 2011

Untold story of kg krubong

Teks ucapan ayah pengantin alum

BISMILLAH HIRRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Selamat Sejahtera.
Yang saya kasihi Adinda saya Tuan Haji Zainal Haji Ahmad iaitu ayahanda pengantin Lelaki, Mazby Zubir Khairul Nazri Bin Hj Zainal. Yang saya kasihi Puan Hajjah Norlela Haji Zubir
Datuk-Datuk, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati sekelian.

| SELAKU ABANG IPAR KEPADA BAPA PENGANTIN, DI KALANGAN KELUARGA BESAR KAMI, SAYA TELAH DITUGASKAN UNTUK MEMBACA TEKS UCAPAN KASIH DAN PENGHARGAAN KEPADA PARA HADHIRIN, MEWAKILI KELUARGA PENGANTIN LELAKI |

Sekalung budi setulus hati dari saya dan isteri saya serta keluarga, di atas kesudian Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang hadir bagi menyerikan lagi majlis persandingan anakanda saya, Mazby Zubir Khairul Nazri dengan pasangannya Nafisah Haji Mazlan pada petang ini. Budi baik semua akan kami kenang selama-lamanya.

Ucapan terima kasih ini juga saya tujukan kepada rombongan pengantin perempuan yang diketuai oleh Yang dihormati Tuan Mazlan Mad Amin dan isteri Puan Hajjah Murah binti Salimin diatas kesudian untuk bersama-sama meraikan majlis ini.Tidak lupa saya ingin menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada sekelian yang hadir di dalam dewan yang mulia ini. Saya bagi pihak keluarga menyatakan rasa syukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan keberkatan limpah kurnia dan izin dariNya, kami telah menerima seorang lagi ahli dalam keluarga BESAR kami. Semoga dengan kehadirannya, akan bertambah2lah keceriaan dan berbahagia untuk selamanya.

Saya memohon jasa baik daripada para hadirin sekelian, untuk sama-sama mendoakan supaya dilimpahkan keberkatan dan kebahagiaan serta dimurahkan rezeki buat pasangan mempelai hingga ke akhir hayat. Kepada kedua anakanda tersayang ayahanda bagi pihak semua ahli keluarga ingin menyampaikan sedikit pesanan buat panduan anakanda melayari bahtera hidup bersama.
Kepada anakanda berdua hayatilah maksud tersirat dalam ungkapan2 emas berikut:
Adat orang bersuami isteri,
Pahit manis sama dirasa,
Dalam surut - ada pasangnya,
Dalam susah - ada senangnya,
Dalam sempit - ada lapangnya.

Kalau sedikit, sesudu seorang,
Kalau banyak, sesenduk seorang,
Kalau untung, sama-sama timbul,
Kalau rugi, sama-sama tenggelam.

Kalau tebu, SERUAS seorang,
Kalau nangka, SEULAS seorang,
Payung satu, sama berteduh,
Perahu satu, sama menyeberang.

Makan sepinggan,
Minum secawan.
Duduk setikar,
Tidur sebantal,
Sama melangkah seiring sejalan.

Mudah-mudahan....
Kasih abadi subur sentiasa,
Dendam berahi sepanjang masa.
Sayang kekal sampai kiamat, Cinta tak putus sepanjang hayat.

Kepada keluarga besan saya iaitu Yang Dihormati Haji Mazlan bin Mat Amin dan isteri diharap dapatlah jua kiranya sama-sama memberikan teguran, panduan, tunjuk ajar serta bimbingan kepada anakanda saya Mazby Zubir Khairul Nazri supaya menjadi seorang suami dan bapa yang terbaik demi kebahagiaan rumahtangga yang mereka baru bina ini. Juga ianya menjadi jembatan dalam mengeratkan lagi tali persaudaraan yang terjalin.


Sebelum mengakhiri ucapan, saya mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan dan terima kasih kepada kedua ibu dan ibu mertua, semua adik beradik, saudara mara dan sahabat handai dan tidak lupa kepada SEMUA yang telah sudi bersama-sama, menjayakan majlis menyambut menantu kami ini. Tidak lupa juga saya ucapkan terima kasih kepada Pengurusan MITC diatas segala kerjasama dalam menjayakan majlis ini... maklum sahajalah Mazby adalah ANAK TUNGGAL KAMI! Saya juga mengucapkan terima kasih kepada sesiapa saja yang terlibat yang namanya tidak sempat saya sebutkan. Terima kasih daun keladi, ada rezeki berjumpa lagi.

Kepada para tetamu yang kami muliakan, jutaan terima kasih di atas cenderahati dan ucapan tahniah yang kami terima daripada hadirin sekelian yang amat kami hargai.

Di kesempatan ini kami menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf sekiranya terdapat apa-apa jua kekurangan di sepanjang majlis ini berlangsung.

Kami memohon maaf :
KALAU
Kuah terlebih garam,
Gulai terlebih pedas,
Manisan terlebih gula,
Nasi ada yang mentah!
Kalau ada wajah yang tersalah pandang
Kalau ada nama yang tersalah sebut
Kalau ada gelar yang tersalah ucap, Kalau ada duduk disalah tempat
Saya dengan rasa rendah hati, memohon ampun dan maaf dan sebelum mengundurkan diri saya akhiri ucapan saya dengan serangkap pantun,

Tenang-tenang air di laut,
Sampan kolek bawa ke tanjung,
Hati terkenang mulut menyebut,
Budi baik rasa nak junjung.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

1 comment:

sajak sufi said...

Please comment how do you find this ucapan