Tuesday, October 25, 2011

Untold story of kg krubong

TEXT MC kenduri Alum
MENGUMUMKAN KETIBAAN

Mengumumkan ketibaan pasangan raja sehari Mazby Zubir Khairul Nazri & Nafisah Hj Mazlan masuk ke dewan diiringi oleh rombongan keluarga pihak perempuan daripada Parit Perawas, Sungai Rambai Melaka.

Note: Pengantin dah duduk kat atas tempat makan beradab

KETIBAAN TETAMU DAN JEMPUTAN


Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Pemanis kata selamat datang
Awal Bismillah pembuka bicara

Bukan lebah sebarang lebah,
Lebah bersarang di pohon buluh,
Bukan sembah sebarang sembah,
Sembah bersusun jari sepuluh.

Batu kecubung berwarna ungu,
Ditatah berlian batu bermutu,
Adat Melayu menyambut tetamu,
Hamparkan tikar lebarkan pintu.

Orang ke laut menjala udang,
Petang hari pasang pelita,
Yang ditunggu sudahpun datang,
Yang dinanti sudahpun tiba.

Assalammualaikum w.b.t, saya, Azlin binti Sabtu beserta pasangan saya, Azmi bin Ahmad bagi pihak keluarga kekanda Tn Haji Zainal Bin Haji Ahmad dan isteri Puan Hajah Norlela Binti Zubir dengan berbesar hati mengucapkan selamat datang kepada semua jemputan yang sudi hadir ke Majlis Perkahwinan Mazby Zubir Khairul Nazri Hj Zainal dan Nafisah Hj Mazlan.

Sesungguhnya kehadiran para tetamu sekalian amatlah bermakna dan menyerikan lagi majlis pada hari ini.


Allah swt berfirman di dalam surah Al-Rum ayat 21:
Maksudnya
Dan di antara membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan - keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi tanda-tanda yang orang-orang yang berfikir.




BACAAN DOA DAN SELAWAT

Tetak buluh panjang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat,
Angkat tangan jari sepuluh,
Doa diminta biar selamat.

Dengan ini, majlis mempersilakan En Hamzah Haji Ahmad yang juga ayahanda saudara bagi pengantin lelaki bagi membacakan doa, dipersilakan
……………………………………………………………..

Terima kasih diucapkan.


UCAPAN

Tak molek jika ada alu tiada lesungnya
Tak berguna jika ada dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah majlis jika tidak ada yang berbicara

Dengan ini, majlis mempersilakan Tuan Haji Sabtu bin Md Ali, ayahanda saudara pengantin lelaki untuk menyampaikan ucapan. Dipersilakan.

................................................................................



Kepada pasangan pengantin, itulah sebentar tadi luahan rasa hati daripada ayahanda saudara tercinta mendoakan agar ikatan yang terbina akan sentiasa diBerkati dan diRahmati Allah S.W.T.






Aduhai Mazby dan juga Nafisah
Janganlah risau janganlah gundah,
Ambik senang ambik mudah
Pesan tok imam dalam khutbah nikah,

Sentiasa waras dalam susah
Jgn seperti retak menunggu belah
Rahsia di rumah jgn di bawa ke tanah
Didengar org dek jadi fitnah
Banyakkan sabar banyakkan tabah
InsyaAllah rukun damai serumah-rumah.



MAKAN BERADAB

Dari Melaka ke Negeri Kedah
Sedap sungguh masakan utara
Doa sudah, ucapan pun sudah,
Jemput hadirin menjamu selera.

Para hadirin sekalian, silalah menjamu selera, usah malu, usah segan, tak cukup sepinggan, kita minta nasi tambahan. Dipersilakan semua.


PERSEMBAHAN CD

Orang jauh dikenang-kenang
Hanya terkenang pada yang satu
Mula berkenalan kemudian bertunang
Akad dilaksana sama bersatu


Untuk pengetahuan Hadirin sekalian, pasangan pengantin merpati dua sejoli kita ini sudahpun berkenalan sejak dibangku sekolah lagi. Bagi berkongsi, suka duka, kasih-cinta, pahit manis perkenalan mereka sehinggalah diijabkabulkan marilah kita bersama-sama menonton persembahan multimedia yang telah disediakan.




**BIOLA*

Hadirin sekalian, kita amat bertuah pada hari ini kerana bersama kita ada seorang pemain biola yang handal. Dengan itu, saya menjemput saudari____NADIA IRINA untuk mengasyikkan kita dengan alunan merdu gesekan biolanya. Dipersilakan


Note : Tgk bila pengantin dah habis makan

UPACARA MEMOTONG KEK

Makan sudah,
Minum pun sudah,
Pembasuh mulut sudah dinikmati..

Sudu dan garfu sudah diletakkan,
Tangan yang berkuah sudah dibasuh,
Bibir yang berminyak sudah dilap..

Dijemput pasangan mempelai untuk ke hadapan untuk memulakan upacara memotong kek.


BERSURAI

Inilah yang dikatakan,
Umpama belayar telah sampai di pelabuhan
Umpama berkayuh telah sampai di muara
Umpama berjalan telah sampai di destinasi

Tiada untaian kata yang mampu dilafazkan selain ungkapan rasa syukur dan terima kasih yang tulus ikhlas daripada Raja Sehari dan ahli keluarga buat semua, atas kesudian hadir dan memeriahkan majlis pada hari yang penuh keberkatan ini.

Tuan puteri tersenyum-senyum
Melihat laksamana bermain rodat
Senyum-senyum jangan tak senyum
Sudah sempurna segala adat

Pergi ke dusun memetik kelapa
Kelapa muda si kelapa barli
Jari disusun maaf dipinta
Panjang usia bersua kembali

Dijemput hadirin sekalian untuk terus menjamu selera.

Dijemput juga pengantin dan keluarga kedua dua belah pihak untuk ke pentas bagi sesi bergambar.

Sekian, Wabillah hitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum W.B.T

No comments: